January 19, 2010

Lagi kejayaan Skuad Sukarelawan Rakan Muda-Unicef


KUALA LUMPUR: Seramai 300,000 belia atau tiga peratus daripada jumlah keseluruhan belia di negara ini terbabit najis dadah dalam kajian yang dijalankan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), baru-baru ini.

Pengarah Cawangan Gaya Hidup, Bahagian Pembangunan Rakan Muda Jabatan Belia dan Sukan Negara, Mohd Azhari Mohammad, berkata walaupun jumlah belia terbabit agak tinggi, tetapi ia hanya mewakili sebahagian kecil belia di Malaysia.


Berikutan itu, beliau meminta masyarakat supaya tidak melatah dengan jumlah itu kerana lebih penting ialah merawat mereka melalui program yang dapat membantu belia ini kembali kepada masyarakat.


“Melalui Program Sukarelawan Remaja Rakan Muda Kemasyarakatan seperti ini, belia bermasalah dapat didekati sebagai langkah awal pencegahan.


“Sukarelawan yang terdiri daripada belia berumur 17 hingga 27 tahun ini juga menjadi mata dan telinga KBS dalam membentuk satu komuniti pemimpin masyarakat yang prihatin” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Program Rakan Muda Masyarakat Skuad Sukarelawan Remaja Rakan Muda Siri Tiga di Hotel Puteri Park di sini, semalam.

Program anjuran KBS dengan kerjasama Komuniti Pencegahan Dadah Pahang (DIC), Majlis Aids Malaysia (MAC) dan Tabung Pendidikan Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) Malaysia adalah kesinambungan dua siri sama tahun lalu.


Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan kajian tinjauan 200 responden di beberapa lokasi panas di ibu kota oleh peserta program sebagai data penting dalam pembangunan belia negara.


Ini berikutan sepanjang lima hari peserta berkampung, satu tinjauan khas berkaitan kesedaran Aids dan dadah dijalankan sukarelawan di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Bukit Bintang dan Pasar Seni di sini.


“Data yang dikumpul itu dapat memberi pemahaman menyeluruh terhadap persepsi remaja mengenai Aids dan dadah.


“Ia akan menjadi garis panduan kepada KBS untuk merangka program seterusnya” katanya.
dipetik dari-harian metro (20 Januari 2010)

0 comments: