September 15, 2009

Rakan Muda Ramadan diperluas ke seluruh negara


SANDAKAN 4 Sept — Program Rakan Muda Ramadan bakal diperluaskan di masjid dan surau di seluruh negara bagi menarik golongan belia melakukan aktiviti berfaedah sepanjang bulan ramadan, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim.

Menurut beliau antara pengisian program yang dilaksanakan di di bawah Rakan Muda Masyarakat itu adalah takzirah dan tadarus Al-Quran.

Katanya kementerian membelanjakan dana berjumlah RM1.5 juta setiap tahun bagi melaksanakan program ini di 1,000 buah masjid dan surau yang terpilih di seluruh negara dengan sasaran aktiviti terhadap 4,000 belia.

“Program ini menjadi aktiviti yang utama dilaksanakan oleh Kementerian Belia dan Sukan setiap kali bulan ramadan sebagai satu pendekatan kepada belia dan beliawanis untuk melakukan aktiviti di masjid atau surau,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan sambutan Nuzul Al-Quran Rakan Muda Ramadan peringkat negeri Sabah di sini malam tadi.

Razali berkata Sabah merupakan negeri keenam telah menganjurkan program itu dan selepas ini ia akan dianjurkan di negeri lain.

Katanya pengisian program itu di setiap negeri dilakukan berbeza-beza dalam usaha menarik perhatian golongan belia dan beliawanis menyertai program tersebut.

Beliau berkata pada masa akan datang, pihaknya berharap setiap masjid dan surau yang pernah dipilih menyertai program ini dapat berdikari untuk menganjurkan program yang sama.

— BERNAMA

0 comments: