December 27, 2008

Belia Bantu Ibu Tunggal

Golongan remaja dan belia perlu didedahkan dengan sikap kesukarelawan kerana ia mampu memberi kesedaran untuk bersama-sama membela nasib anak bangsa yang memerlukan bantuan, di samping menyemai sikap prihatin.

Pembentukan sikap ini amat mustahak, terutamanya pada zaman teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang yang pesat membangun kini.

Menyedari perkara itu, Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Tinggi dengan kerjasama Jawatankuasa Penyelaras Mukim-mukim (JPMM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sedili telah menganjurkan Program Khidmat Bakti Rakan Muda Prihatin, baru-baru ini.

Program itu turut mendapat kerjasama daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tanjung Sedili, Pemuda UMNO cawangan Tanjung Sedili dan Kelab Rakan Muda Kota Tinggi serta penduduk setempat yang bergotong-royong membina, membersih, mengecat serta membaiki rumah seorang ibu tunggal, Fadilah Chek Ahmad, 32, di Tanjung Sedili, di sini.

Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kota Tinggi, Mohd. Azli Lee Abdullah berkata, program yang disertai 75 orang itu merupakan platform terbaik menyemarakkan minat golongan remaja dan belia untuk berbakti kepada masyarakat.

Menurutnya, program itu juga secara tidak langsung dapat melahirkan keyakinan masyarakat kepada nilai-nilai positif yang ada pada golongan belia sekarang.

Beliau berkata, objektif program tersebut juga untuk memupuk nilai positif dan semangat kemasyarakatan di kalangan belia selain mengeratkan lagi hubungan silaturrahim bagi melahirkan masyarakat yang harmoni.

Sementara itu, Fadilah dan tiga anaknya berusia 12 hingga 16 tahun yang tinggal di sebuah rumah usang peninggalan arwah suaminya tiga tahun lalu bersyukur kerana rumah mereka kini selesa.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain yang sudi membantu mendapatkan sumbangan untuk membaiki rumah mereka, Fadilah mengakui suasana baru rumah berkenaan bakal memberi sinar baru kepada keluarga.

"Sebelum ini kami sekeluarga dalam keadaan yang kurang selesa kerana atap dan dinding rumah terlalu uzur dan membahayakan.

"Bantuan yang diberi memang kami hargai. Dengan pendapatan RM450 sebulan di sebuah kilang di Kota Tinggi, agak sukar untuk saya menyewa atau membina sebuah rumah yang selesa," katanya.

Fadilah turut mengakui sambutan Hari Raya Aidiladha pada tahun ini lebih ceria kerana mereka dapat berhari raya di rumah yang lebih selesa.

Sumber dipetik dari Utusan Malaysia.

0 comments: