December 27, 2008

KBS Ambil Pendekatan Dekati Dan Fahami Masalah Belia




Kementerian Belia dan Sukan kini mengambil pendekatan mendekati belia dan memahami masalah yang dihadapi oleh mereka dalam usaha memperkasa dan menyemarakkan lagi pertubuhan belia di negara ini.

Menteri berkenaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata jika pegawai kementerian sentiasa mendekati para belia ini, beliau percaya mereka akan bersama kerajaan.

"Jika kita terus menghukum dan sebagainya adalah satu perkara di mana akhirnya mereka akan lagi lari daripada kita. Yang paling baik adalah mendekati dan memahami mereka atau kita mesti menjadi sebahagian daripada mereka... kita mesti memahami jiwa mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri persidangan pegawai belia dan sukan 2008 di sini, Selasa malam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan terdapat sesetengah pertubuhan belia di negara ini yang mendapat peruntukan kementerian itu tetapi menentang kerajaan.

"Ini suatu yang baru yang saya tahu. Bagaimanapun, apa yang boleh kita lakukan ialah kita mesti mendekati mereka dan memahami masalah yang dihadapi mereka. Tidak semua belia dilahirkan sebagai pembangkang tetapi mesti ada masalah yang perlu kita tahu dan kita mesti mendekati mereka.

"Jika kita dapat tahu ada pertubuhan belia sedemikian, kita akan siasat perkara ini dan kita mungkin akan bincang apa masalah yang dihadapinya. Kadang-kadang masalah yang dihadapi menentang kita kerana masalah sikit saja yang sepatutnya boleh diselesaikan dengan cara mudah. Sebab itulah kalau kita tak bersamanya, kita tidak tahu masalah yang kecil itu," katanya.

Sementara itu, katanya kementeriannya akan memberi tumpuan terhadap pergerakan belia di akar umbi dengan mewujudkan Kelab Rakan Muda pada tahun depan.

"Kalau boleh kita akan wujudkan Rakan Muda di setiap kawasan. Langkah ini juga sesuai dengan program kita untuk kempen penambahan ahli belia melalui kempen satu komuniti satu persatuan.

"Dengan ini, ia berjalan serentak dengan kempen belia dan penubuhan KRM. Pendekatan kita sekarang ialah kita pergi kepada mereka (mendekati dan memahami mereka)," katanya.

Sumber dipetik dari Bernama.

0 comments: